SLICE18 Buka Tirai Hari ini

SLICE18 Buka Tirai Hari ini

Program “Selangor Innovation and Creativity Exposition 2018” (SLICE18) telah dibuka secara rasminya hari ini oleh Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Pengarah Pendidikan Tinggi, JPT. Majlis perasmian tersebut berlangsung di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam dan dihadiri peserta-peserta dari seluruh Malaysia.

Dr. Mohd Nor Azman Hassan dalam ucapannya berkata, beliau berasa kagum dengan bilangan penyertaan sebanyak 120 peserta yang terdiri daripada para akademik, pelajar-pelajar intitusi pengajian tinggi, NGO dan orang awam. Beliau berpendapat bahawa para saintis perlu diperbanyakkan dan bidang pendidikan harus dipertingkatkan lagi agar kita dapat duduk sama rendah dan diri sama tinggi dengan industri antarabangsa.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL pula berharap agar program yang melibatkan kepelbagaian latar belakang peserta dan bersifat keintelektualan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Tambah beliau, program seperti ini dapat memupuk minat masyarakat setempat untuk bertali arus ke UNISEL dan sama-sama memperlihatkan inovasi-inovasi yang dipamerkan selaras dengan pembangunan industri 4.0 (IR 4.0) di Malaysia.

SLICE18 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November 2018 ini merupakan program yang dijalankan dalam usaha untuk menjadikan Selangor sebagai pusat penyelidikan serantau. Menerusi tema “Menjana Inovasi dan Kreativiti”, SLICE18 turut menyediakan pelbagai program menarik antaranya pameran produk, bicara industri berkenaan IR 4.0z

Intensi utama program ini adalah untuk merangsang dan menarik pelajar tempatan dan penyelidik untuk melaksanakan aktiviti ilmiah dan mempertingkatkan inovasi dalam kalangan peserta. Dalam pada itu, program ini memperluaskan ruang bagi para inovator baharu dan pelawat untuk bertukar pendapat dan pandangan mengenai hasil inovasi.

Terdahulu, Dr Makio Miyagawa, Duta Besar Jepun ke Malaysia diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan khas sempena SLICE18. Beliau yang juga merupakan penerima Anugerah Ijazah Kehormat Sains Politik UNISEL menyampaikan syarahan bertajuk Penglibatan Semula Jepun dengan Asia Tenggara, Terutamanya Dengan Malaysia di Bawah Pentadbiran Baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *