Program UNISEL Athlete Track Makin Mendapat Sambutan

Program UNISEL Athlete Track Makin Mendapat Sambutan

Program “UNISEL Athlete Academic Track” semakin mendapat tempat kalangan para atlet. Ini dapat dilihat menerusi sambutan yang diterima semasa Majlis Pendafatran Pelajar Baharu Universiti Selangor (UNISEL) bagi sesi kemasukan September 2018 apabila sebilangan atlet kebangsaan telah mendaftar untuk melanjutkan pengajian ke UNISEL.

Kenny Pallray Devagi, pemain tengah bagi pasukan Perak FA merupakan antara atlet yang telah memilih UNISEL sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda. Beliau ketika ditemui berkata, beliau amat tertarik dengan program “UNISEL Athlete Academic Track” ini kerana ia memberi peluang kepada para atlet untuk mendapat fokus yang sama dalam pelajaran dan juga latihan di padang.

“Pada saya, program seperti ini amat bagus terutama sekali kepada golongan atlet professional yang mempunyai jadual latihan yang amat padat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UNISEL kerana telah memperkenalkan program ini. Sebagai seorang  atlet, kekangan kami adalah masa. Oleh itu, saya yakin dengan adanya program seperti ini mampu membuka peluang kepada atlet untuk turut sama berjaya di menara gading,” ujat beliau.

Mohamad Amirul Norhadi, atlet mendayung negara juga turut hadir mendaftar di UNISEL. Beliau yang juga merupakan Olahragawan Harapan Selangor 2015-2016 itu memilih  UNISEL berikutan kemudahan tasik UNISEL yang amat sesuai untuk beliau menjalani latihan. Apa yang lebih menarik, bapa beliau Norhadi Ishari yang banyak memberi dorongan kepada beliau untuk memilih UNISEL. 

Bagi Amirul, seorang atlet haruslah seimbang dalam bersukan dan belajar. Beliau juga yakin dengan adanya program seperti “UNISEL Athlete Academic Track” ini mampu membuka ruang kepada atlet-atlet untuk melanjutkan pengajian tanpa perlu risau akan kekangan masa kerana program ini memberi fleksibiliti kepada atlet dari segi tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *