Pensyarah UNISEL Bantu Guru Sekolah Dalami Ilmu Microsoft Office

Pensyarah UNISEL Bantu Guru Sekolah Dalami Ilmu Microsoft Office

Pada 5 April 2018 lepas telah berlangsungnya sesi perasmian Program Pengukuhan Microsoft Office di Kalangan Guru-Guru Sekolah Negeri Selangor (PPMO2018) bertempat di SMK Raja Muda Musa, Bestari Jaya, Selangor. Program ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor dengan Universiti Selangor (UNISEL).

Sesi perasmian program ini disempurnakan oleh Tuan Haji Amidi Bin Abdul Manan, Dekan, Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti dan juga turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Raja Mohd Tariqi Bin Raja Lope Ahmad, Pengarah, Pusat Penyelidikan & Jaringan Industri, UNISEL.

Ia merupakan program yang dijalankan menerusi geran penyelidikan yang dianugerahkan kepada pensyarah dari Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FKSVP) iaitu Puan Nahdatul Akma binti Ahmad dan Puan Azaliza binti Zainal.

Idea untuk menjalankan program ini tercetus apabila tinjauan dan temu bual yang dilakukan oleh penyelidik terhadap beberapa buah sekolah menengah mendapati guru-guru begitu memerlukan latihan yang mampu meningkatkan kompetensi guru dalam penggunaan aplikasi komputer.

Justeru itu, matlamat utama program ini adalah bagi memantapkan kemahiran penggunaan aplikasi ‘Microsoft Office level Intermediate to Advance’ dalam kalangan guru-guru dengan cara menyuntik elemen seperti membuat persembahan menggunakan infografik, memasukkan elemen audio dan video dalam persembahan serta menggunakan beberapa fungsi khas bagi menyediakan laporan dengan lebih efektif.

PPMO2018 mula dilaksanakan pada bulan Mac sehingga April 2018 yang melibatkan lima buah sekolah sekitar daerah Kuala Selangor, Klang dan Hulu Selangor. Seramai 47 orang guru dari sekolah SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Sulaiman Shah, SMK Sg. Choh dan SMK Raja Mahadi telah terpilih untuk menjalani program ini.

Secara keseluruhannya, program ini diharap mampu membantu meningkatkan lagi kemahiran penggunaan aplikasi komputer Microsoft Office bagi memudahkan urusan pengajaran guru dan pembelajaran para pelajar di sekolah seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *