Lebih 1500 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di UNISEL

Lebih 1500 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di UNISEL

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor hari ini mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Selangor (UNISEL) yang berlangsung di kampus Bestari Jaya.

Kira-kira 1500 peserta termasuk 11 kontinjen daripada fakulti, pejabat pentadbiran dan persatuan pelajar menyertai perarakan sempena hari kelahiran Rasulullah.

Perarakan bermula seawal jam 8 pagi menyaksikan perarakan sejauh satu kilometer bermula di Pusat Islam dan berakhir di Dewan Canselor diiringi dengan dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya berkata, sambutan Maulidur Rasul merupakan program tahunan UNISEL yang dianjurkan bagi menghayati perwatakan dan pengorbanan Rasululullah S.A.W.

“Alhamdulillah kita semua dapat bersama-sama pada program hari bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul 1440H ini diadakan bukan sahaja untuk menghayati perwatakan dan pengorbanan Rasulullah S.A.W malah untuk mengeratkan ikatan ukhwah antara kakitangan dan pelajar,” ujar beliau.

Sambutan dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan perarakan dan sepanduk tercantik. Kedua-dua pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pelajar, fakulti dan pusat tanggungjawab.

Bagi kategori Perarakan peringkat pelajar, Persatuan Pelajar Pengajian Islam mengungguli tempat pertama manakala bagi kategori Sepanduk Terbaik peringkat pelajar, dimenangi oleh Sahabat Pusat Islam.

Pejabat Pentadbiran dan Sumber Manusia (PPSM) muncul juara Pusat Tanggunjawab apabila berjaya meraih kemenangan bagi dua kategori iaitu kategori Perarakan dan Sepanduk Terbaik.

Di peringkat fakulti pula, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran dinobatkan sebagai johan bagi kategori Perarakan manakala Pusat Pengajian Asas dan Umum diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Sepanduk Terbaik.

Dalam pada itu, Presiden dan Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan kepada staf dan pelajar mualaf disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi UNISEL.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *