UNISEL Terima Sumbangan Zakat Bank Islam

UNISEL Terima Sumbangan Zakat Bank Islam

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima sumbangan zakat daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Majlis penyerahan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UNISEL Kampus Shah Alam itu dihadiri pengurusan tertinggi UNISEL serta wakil daripada BIMB.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya menyatakan pemberian zakat ini membawa pelbagai manfaat terutama sekali kepada pelajar asnaf UNISEL serta pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

Tambah beliau lagi, dengan adanya bantuan zakat seperti ini, UNISEL bukan sahaja boleh meneruskan program pemberian makanan tengah hari percuma kepada pelajar asnaf malah mampu menggiatkan lebih banyak bengkel pembangunan pelajar-pelajar asnaf.

Majlis diteruskan dengan penyampaian replika cek yang disempurnakan oleh En. Bostaman Hassan, Timbalan Pengurus Besar Bank Islam Kawasan Tengah diiringi oleh En. Shamsul Azlan Mohd Nor, Pengurus Perniagaan Deposit Bank Islam Kawasan Tengah sambil disaksikan oleh para hadirin yang terdiri daripada pengurusan tertinggi UNISEL dan wakil-wakil Bank Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *