UNISEL Terima Kunjungan Timbalan Perdana Menteri

UNISEL Terima Kunjungan Timbalan Perdana Menteri

Universiti Selangor (UNISEL) pada hari ini menerima kunjungan daripada YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri hadir ke UNISEL sempena program Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 yang berlangsung di Auditorium Za’ba Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Dalam persidangan yang bertemakan “Kesejahteraan Kanak-Kanak dalam Agenda Pembangunan Mampan”, beliau berkata semua pihak harus memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak dan golongan muda. Dalam pada itu, masyarakat juga harus memainkan peranan untuk memastikan kebajikan, kesejahteraan dan hak mereka sentiasa terpelihara.

“Persidangan ini amat bermakna buat saya kerana ia memberi peluang yang lebih luas kepada para peserta untuk membahaskan isu-isu penting kanak-kanak selain kaedah-kaedah, polisi, peraturan atau panduan yang berkesan bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk kehidupan dan tumbesaran kanak-kanak,” ujar beliau.

“Orang dewasa perlu sentiasa prihatin untuk menghindarkan kanak-kanak kepada sebarang penganiayaan, penderaan dan pengabaian yang dapat mengancam keselamatan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau juga memberi peringatan kepada semua, adalah menjadi satu kewajipan kepada semua untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak.

Terdahulu, forum bertajuk “Perlindungan dan Pembangunan Kanak-Kanak: Cabaran & Harapan” dikupas oleh empat orang panel antaranya Prof. Dato’ Dr. Mat Saat Mohammad Baki, Pakar Psikologi dan Kaunseling Klinikal, Mohammad Hanafi Maulud, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Norazizah A.Aziz, Pensyarah Kanan Kolej Dar Al-Hikmah, Hasri Harun, Pengarah Institut Maqasid Shariah UNISEL bersama moderator Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh, Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum.

Persidangan yang berlangsung selama satu hari itu mendapat sambutan luar biasa dan disertai lebih daripada 400 peserta antaranya agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta wakil-wakil dari universiti tempatan.

Turut hadir, YB Dr. Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, YB Puan Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Negeri Permatang serta Prof. Dato’ Dr. Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *