UNISEL Terima Kunjungan Kumpulan Motosikal Berkuasa Berat IPK Selangor

UNISEL Terima Kunjungan Kumpulan Motosikal Berkuasa Berat IPK Selangor

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini telah menerima kunjungan daripada Kumpulan Motosikal Berkuasa Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Rata-rata peserta yang hadir merupakan peserta yang mengikuti Kursus Asas Motosikal Berkuasa Berat Siri 3/2017.

Rombongan seramai 35 peserta yang diketuai oleh ASP Mohd Azizan Jamaluddin, Presiden Kursus Asas Motosikal Berkuasa Berat Siri 3/2017 dan Inspektor Mohd Khairul Mohd Yusuf, Pegawai Penyelaras Kursus Asas Motosikal Berkuasa Berat Siri 3/2017 itu telah disambut baik oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi UNISEL.

Presiden dan Naib Canselor dalam ucapan aluannya berterima kasih kepada pihak IPK Selangor kerana telah memilih UNISEL sebagai destinasi persinggahan dan kunjungan pada siri kali ini. Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta kursus seterusnya menjadi anggota yang cekap dan beramanah dalam menjalankan tugas yang telah ditanggungjawabkan.