UNISEL Serah Sumbangan Kepada Pusat Tahfiz

UNISEL Serah Sumbangan Kepada Pusat Tahfiz

Set kelengkapan asrama serta peralatan bilik darjah antara sumbangan yang telah diberikan oleh Universiti Selangor (UNISEL) kepada Pusat Jagaan Asnaf Quranik Al-Ummah, Kajang, Selangor dalam rangka program tanggungjawab sosial universiti.

Majlis Penyerahan Sumbangan ini telah dirasmikan oleh Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden & Naib Canselor disaksikan oleh Dr. Haji Rahman Hj Kurais, Pengasas Pusat Asnaf Quranik Al-Ummah. Turut hadir ialah Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Timb. Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL.

Dr. Haji Rahman Hj Kurais dalam ucapannya amat berterima kasih kepada pihak UNISEL atas keperihatinan yang telah ditunjukkan dan berharap agar segala bentuk bantuan yang diterima dapat membantu pusat ini melahirkan lebih ramai pelajar tahfiz yang cemerlang.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan dalam ucapannya berharap agar para pelajar dapat menggunakan kemudahan yang diberikan sebaik mungkin. Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan para pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian di UNISEL menerusi program Smart Tahfiz yang telah diadakan bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar tahfiz menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan, kita amat menekankan aspek kualiti pendidikan. Dengan adanya program Smart Tahfiz ini, pelajar akan diberi ruang untuk cemerlang dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan hafazan al-quran” ujar beliau lagi.

Pusat Asnaf Quranik Al-Ummah merupakan pusat jagaan anak yatim miskin (asnaf) yang berkonsepkan pengajian tahfiz dan mula beroperasi secara rasmi pada Januari 2018. Penubuhan pusat ini bertujuan untuk membantu dan memberi sumbangan kepada anak-anak asnaf yang memerlukan bimbingan dari segi pendidikan.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *