UNISEL Raih Pingat Emas Anugerah Mentor Mentee STEM

UNISEL Raih Pingat Emas Anugerah Mentor Mentee STEM

Sekalung tahniah diucapkan kepada sekumpulan pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) yang berjaya meraih pingat emas menerusi Anugerah Mentor Mentee STEM bersempena Ekspo Teknologi Malaysia 2019 (MTE 2019).

Dr Nor Suhaila Yaacob, Pengarah Institut Bio-IT mewakili UNISEL menerima anugerah tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra yang disampaikan oleh YB Puan Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Pasukan UNISEL yang diketuai oleh Dr. Hazeeq Hazwan Azman selaku Koordinator STEM UNISEL itu berjaya meraih pingat emas menerusi modul Sains Forensik yang dibangunkan oleh pasukan STEM UNISEL yang merupakan program kerjasama Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS), Institut Bio-IT dan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat UNISEL.

Menurut Dr Hazeeq Hazwan, beliau berasa amat gembira di atas kemenangan ini. Beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan CFGS turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengurusan universiti yang memberi sokongan kepada pasukannya sepanjang pertandingan ini.

“Pihak kami menerima pelbagai respons dan maklum balas positif bukan sahaja daripada pengunjung yang hadir pada MTE 2019, malah daripada pihak kementerian. Saya berasa amat berbangga kerana berjaya membawa nama universiti ke peringkat ini dan berharap agar UNISEL akan terus mendapat perhatian dan pengiktirafan dalam bidang STEM,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *