UNISEL- GPNU Jalin Ikatan Tingkatkan Pengalaman TVET

UNISEL- GPNU Jalin Ikatan Tingkatkan Pengalaman TVET

Susulan lawatan pengurusan tertinggi Universiti Selangor (UNISEL) yang diketuai oleh Y.Bhg Presiden dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman ke China baru-baru ini, UNISEL pada hari ini mengalu-alukan lawatan balas delegasi daripada Guangdong Polytechnic Normal University (GPNU) sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi kedua-dua belah pihak.

Perjanjian persefahaman itu dimeterai bagi membuka peluang kerjasama antara UNISEL dan GPNU terutama sekali dalam membangunan bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh GPNU akan menjadi rujukan para pensyarah UNISEL dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negeri Selangor ke arah yang lebih cemerlang.

Delegasi dari negara China diketuai oleh Presiden GPNU, Prof. Guo Jie dan Pengarah International Exchange and Coproration, Prof. Chen Haohai dalam pada itu mengambil peluang untuk melawat kedua-dua buah kampus UNISEL yang teletak di Shah Alam dan Bestari Jaya.