UNISEL Dan Sumbangan Kepada Masyarakat

UNISEL Dan Sumbangan Kepada Masyarakat

Ikuti temubual ringkas bersama Prof. Dr. Mohd Zaidi Hj. Hajazi, Presiden Persatuan Akademik dan Profesional Universiti Selangor (APA) berkenaan perkembangan terkini serta sumbangan UNISEL kepada masyarakat.

1. Prof. merupakan Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial dan pada masa yang sama adalah Presiden APA yang ditubuhkan untuk bersama-sama menyokong aspirasi UNISEL menjadi universiti terunggul dirantau ini. Setakat manakah APA berjaya dalam misi ini?

Saya ingin merujuk kepada ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali semasa istiadat konvokesyen UNISEL kali-12 baru-baru ini. Beliau berkata, “UNISEL perlu memainkan peranan dalam memberikan tumpuan yang lebih dalam usaha Membudayakan Insan Untuk Ilmu bagi mencapai kecemerlangan dan bukan sekadar meraih keuntungan semata-mata.” Pernyataan membudayakan insan untuk ilmu merupakan amanat Y.A.B Dato Menteri Besar Selangor kepada seluruh warga UNISEL dan kami di APA menyambutnya dengan menjadikan ianya sebagai janji dan azam yang akan ditunaikan dengan jayanya.

APA merupakan sebuah badan bebas yang menyokong aspirasi UNISEL menjadi universiti terunggul, juga pada waktu yang sama menjadi pemantau kepada kecemerlangan UNISEL secara keseluruhannya. Di bawah pentadbiran Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, APA melihat perkembangan UNISEL yang amat luarbiasa khususnya elemen tranformasi sehingga menjadikan UNISEL berwajah baru, bersemangat baru dan pemacu kecermerlangan dalam semua aspek. APA akan terus memainkan peranannya menjadi pendukung dan pemantau yang berkesan kepada kejayaan UNISEL.

2. UNISEL merupakan universiti pertama milik kerajaan negeri Selangor dan berstatus Sdn. Bhd semenjak ditubuhkan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional. Bagaimana Prof melihat janji manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini yang mahu menjadikan UNISEL sebagai universiti awam jika dapat menawan Selangor?

Kita boleh berbaik sangka, persoalannya adalah kenapa tidak dibuat dari peringkat awal lagi. Kita lihat manifesto sebegini adalah tidak ubah hanya sekadar janji berbentuk gula-gula dan selepas itu pengakhirannya akan sama seperti janji menurunkan harga kereta pada pilihan raya lepas yang mana harga kereta tidak turun hingga kini.

3. Sejak ditubuhkan, UNISEL dilihat telah memberi sumbangan besar terhadap perkembangan kemajuan Negeri Selangor? Apa pandangan Prof.?

Sejak penubuhan UNISEL pada tahun 2000 oleh Kerajaan Negeri Selangor, UNISEL telah menjadi rakan kongsi kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam pelbagai bidang penyelidikan strategik, pemberi perkhidmatan konsultansi dan juga pelbagai kepakaran. UNISEL terlibat dalam penyelidikan pembersihan Sungai Kelang, membangunkan perisian komponen Smart Selangor, pengurusan sumber manusia, penyelidikan menetapkan garis kasar kemiskinan Negeri Selangor dan juga pengurusan gejala sosial Negeri Selangor. Pada masa yang sama UNISEL berjaya mengeluarkan graduan berkualti untuk Negeri Selangor dan Malaysia.

Setiap tahun, graduan UNISEL telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian. Ini merupakan kebanggaan seluruh warga UNISEL. Modus pengurusan dan pentadbiran UNISEL memberi fokus kepada pembangunan manusia cemerlang dengan mengembalikan keuntungan yang diperolehi kepada rakyat negeri Selangor melalui pemberian Skim Dermasiswa yang memberikan pengajian percuma pada seluruh rakyat Malaysia pada peringkat asasi. Sejak diperkenalkan skim dermasiswa pengajian asasi, lebih ramai anak-anak yang ibu bapanya berpendapatan rendah dapat mengikuti pengajian peringkat tinggi di universiti.

4. Adakah Prof. berpuas hati dengan peranan dan sokongan Kerajaan Negeri Selangor kepada UNISEL?

UNISEL menerima sokongan yang amat luar biasa di bawah pentadbiran YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Azmin Haji Ali. Tidak pernah berlaku mana-mana Menteri Besar yang datang ke kampus UNISEL lebih dari lima kali dalam setahun kecuali Dato’ Seri Azmin. Pada tahun 2017 sahaja, geran yang telah disalurkan kepada UNISEL untuk tujuan pembangunan demi membangunkan budaya insan berilmu adalah melebihi RM80 juta ringgit. Jumlah ini merupakan jumlah yang sangat banyak dan melambangkan komitmen serta kesungguhan kerajaan negeri menyokong UNISEL.

Sumbangan dana ini membolehkan UNISEL mengerakkan aktiviti akademiknya bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi. Dengan dana yang cukup besar ini, kampus UNISEL yang dahulunya agak suram telah kembali bersinar. Bangunannya telah dicat baharu. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran seperti kerusi, meja diganti baharu dan dewan kuliah dilengkapi dengan peralatan media tercanggih. Semua kemudahan ini telah disiapkan untuk menyokong usaha melahirkan budaya insan berilmu.

5. Bagaimana UNISEL membangunkan pelajarnya sehingga mencapai tahap yang membanggakan?

Perancangan strategik untuk mentranformasikan proses membudayakan insan cemerlang telah digubal dan telah dilaksanakan sepenuhnya. UNISEL tidak lagi menoleh ke belakang tetapi bergerak maju ke hadapan untuk merealisasikan hasrat besar Y.A.B Dato Menteri Besar Selangor dan seluruh rakyat Negeri Selangor. UNISEL bergerak kehadapan dengan penuh yakin dan bergaya. UNISEL telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Pentadbiran UNISEL yang mempunyai visi yang jelas, dasar yang tuntas dan berpegang kepada prinsip integriti serta telus telah menyumbang kepada kejayaan- kejayaan pelajar UNISEL. Ini telah meningkatkan keyakinan dan mengubah persepsi masyarakat kepada UNISEL secara keseluruhannya. Pada hari ini, persepsi masyarakat terhadap UNISEL sudah berubah sepenuhnya, dari negatif kepada positif, dari ragu kepada keyakinan tinggi.

6. Sempena kemasukan pelajar baharu UNISEL pada bulan Mei dan Jun nanti, apakah harapan Prof. selaku Presiden APA kepada mereka diluar sana.

Sudah semestinya UNISEL adalah pilihan terbaik buat pelajar dan ibu bapa diluar sana. APA akan sentiasa menyokong staf akademik menjadi lebih produktif, khususnya melakukan penyelidikan dalam memastikan staf akademik serius ke arah membudayakan insan untuk ilmu. Pihak universiti juga telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan atau Center of Excellence yang terdiri daripada tujuh buah Institut, iaitu Institut Bio IT, Institut Kajian Malaysia-Indonesia (IKMI), Institut Kejuruteraan Sukan (ISE), Institut Maqasid Syariah (INSMAQ), Institut Epistemologi Ilmu Islam dan Pembaharuan Kurikulum (IIEDR), Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD) dan Institut Halal Antarabangsa UNISEL.

Semua institut ini menjadi pemacu kepada kecemerlangan staf akademik dan pelajar UNISEL yang terlibat dalam pelbagai penyelidikan. Pada pandangan dan pemerhatian saya, tenaga akademik di UNISEL terbukti telah melakukan yang terbaik sehingga pelajar-pelajar UNISEL menjadi rebutan syarikat-syarikat antarabangsa dan juga firma gergasi tanah air seperti Petronas, SHELL, Brunei Oil, Syarikat Telekomunikasi terbesar Indonesia, The Sun, MAXIS dan lain-lain. Tenaga akademik UNISEL juga telah mengorak langkah melaksanakan Pengantarabangsaan Program dengan menjalankan program kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka dunia dan juga badan agensi international. Umpamanya program International Accountancy Degree Program dengan peneraju utama iaitu The Association of International Accountants (AIA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *