UNISEL Anjur Seminar Kesedaran & Prospek Kerjaya Industri Halal

UNISEL Anjur Seminar Kesedaran & Prospek Kerjaya Industri Halal

Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menganjurkan satu seminar yang bertemakan ‘Kesedaran dan Prospek Kerjaya Industri Halal’. Program tersebut berlangsung selama satu hari bertempat di Dewan Kuliah 2, UNISEL Kampus Shah Alam.

Seminar yang dirasmikan oleh YB Tuan Mohd Khairuddin bin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu mendapat sambutan yang amat meriah dengan kehadiran lebih 300 peserta yang rata-ratanya merupakan pelajar institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia.

Menerusi ucapan perasmiannya, YB Tuan Mohd Khairuddin yakin program seumpama ini adalah sangat bermanfaat terutama sekali kepada para mahasiswa dimana ia akan memberi pendedahan awal terhadap perkembangan industri halal tempatan mahupun global.

“Seminar ini amat penting kepada para mahasiswa untuk memahami ekosistem industri halal dan peluang kerjaya di dalam industri ini. Dengan ekosistem halal pada masa kini, maka keperluan kepada ‘Halal Industry Players’ yang kompetent adalah sangat tinggi, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” ujar beliau lagi.

Institut Halal Antarabangsa UNISEL (INSHA) yang ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan sebuah institut untuk mendokong Selangor menjadi sebuah negeri pilihan utama bagi perdangan halal tempatan dan juga global.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, penubuhan INSHA ini adalah merupakan usaha yang selaras dengan visi kerajaan negeri yang ingin menjadikan Selangor sebagai Global Halal Hub.

“INSHA telah menganjurkan beberapa seminar dan forum berkaitan dengan Halal sekaligus meninggalkan impak positif kepada masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Buat masa kini, INSHA bergiat aktiviti dalam bidang penyelidikan Halal dan telah berjaya mendapat geran penyelidikan dari Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang berjumlah RM 300,000,” ujar beliau.

Dalam pada itu, forum bertajuk “Senario Semasa Industri Halal di Malaysia dan Global – Pembangunan Modal Insan” turut diadakan disamping dua slot perkongsian pakar industri antaranya berkenaan potensi industry halal bagi memaksimumkan peluang kerjaya dalam bidang halal.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *