Tiga Pelajar UNISEL Terima Biasiswa IIIT

Tiga Pelajar UNISEL Terima Biasiswa IIIT

Tiga pelajar antarabangsa Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima biasiswa daripada International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di UNISEL Shah Alam.

Aliyu Idris (Doktor Falsafah Sains Sosial), Sanogo Abdoul Hamid (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan) dan Abdul Hady Al-Helalee (Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Kewartawanan) merupakan tiga pelajar yang terpilih menerima biasiswa yang buat julung kalinya diberikan kepada pelajar UNISEL.

Ketiga-tiga pelajar tersebut terpilih berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh pihak IIIT antaranya cemerlang dalam bidang akademik, karakter yang berwibawa, mempunyai nilai moral yang tinggi serta aktif di dalam dan luar kampus.

Biasiswa IIIT ini merupakan salah satu program kerjasama di antara UNISEL dengan IIIT bagi menyediakan penajaan pembelajaran kepada pelajar sepanjang pengajian mereka di UNISEL meliputi yuran pengajian, elaun tesis serta elaun buku dan alat tulis.

Presiden dan Naib Canselor dalam ucapannya berkata, UNISEL amat menggalakkan pelajar antarabangsa terutama sekali daripada negara-negara Islam untuk melanjutkan pengajiaan mereka di sini.

“Saya amat mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di UNISEL. Saya yakin adanya biasiswa seperti biasiawa IIIT ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di UNISEL,” ujar beliau.

“Berdasarkan pengalaman saya meninjau di beberapa negara luar khususnya benua Afrika, peluang belajar seperti yang terdapat di Malaysia adalah amat sukar diperoleh. Maka dengan itu, jadikanlah peluang pembelajaran di UNISEL sebagai platform untuk anda bergerak maju dan dapat membantu masyarakat apabila pulang ke negara masing-masing,”, tambah beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *