Terap 4 Sifat Rasulullah Mantapkan Etika Kewartawanan

Terap 4 Sifat Rasulullah Mantapkan Etika Kewartawanan

“Kerjaya sebagai seorang wartawatan bukan hanya untuk mengejar populariti tetapi yang paling utama adalah bagi meraih kepercayaan masyarakat . Sebagai seorang wartawan, kita harus cakna dengan apa yang berlaku di persekitaran dan dalam pada masa yang sama, etika serta cara kerja yang betul haruslah diamalkan,” ujar Prof. Dr. Azmuddin Ibrahim.

Beliau yang ditemui semasa Majlis Syarahan Profesor 2018 di Dewan Pro Canselor UNISEL Kampus Shah Alam turut menegaskan bahawa setiap wartawan harus mengamalkan empat sifat Rasulullah iaitu siddiq (jujur), amanah (boleh dipercayai), tabligh (menyampaikan mesej) dan fathanah (kebijaksanaan) dalam menyebarkan maklumat. Ini bagi mengelakkan penyebaran berita-berita palsu serta fitnah yang dilihat semakin berleluasa.

“Berita palsu telah lama wujud. Perkembangan teknologi telah menjadikannya makin meluas. Sebagai wartawan, mereka bukan sahaja perlu mengenalpasti fakta malah harus mencari kebenaran fakta tersebut. Pada pandangan saya, seorang wartawan yang bagus adalah yang mampu memberikan maklumat yang sahih kepada masyarakat,” ujar beliau yang juga merupakan Profesor di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC).

Program anjuran FCVAC dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik ini mendapat sambutan yang meriah terutama sekali daripada pelajar-pelajar jurusan kewartawanan UNISEL. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi UNISEL serta pensyarah FCVAC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *