Seminar Antarabangsa Pendidikan ProSET 2018, Pendidikan Di Era Revolusi Industri 4.0

Seminar Antarabangsa Pendidikan ProSET 2018, Pendidikan Di Era Revolusi Industri 4.0

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS) dengan kerjasama Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah Selangor (SISC+), Rakan Peningkatan Sekolah Selangor (SIP+) dan Jabatan Pendidikan Selangor hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa Pendidikan ProSET 2018 di Auditorium Za’ba, FESS, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Seminar yang julung kali diadakan ini membuka penyertaan kepada warga pendidik institut pengajian tinggi dari dalam dan luar negara selaras dengan usaha mendapatkan penarafan antarabangsa demi melonjakkan budaya kerja berasaskan kajian ilmiah rentas negara bagi meningkatkan tahap kualiti pendidikan di negeri Selangor selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan pendidikan ke peringkat antarabangsa.

Bertemakan Pengantarabangsaan Pendidikan Seiring Era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) Y.B. Juwairiya Zulkifli, ADUN Bukit Melawati dalam ucapan perasmian berkata, dalam ledakan RI 4.0, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia. Tambah beliau, teknologi automasi dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

“Dalam mendepani cabaran industri 4.0, pelajar di universiti harus keluar daripada kebiasaan. Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving, Collaboration, dan Creativity pada semua peringkat pengajian” katanya.

Beliau dalam pada itu menyarankan agar masyarakat tajamkan kemahiran dalam penyelesaian masalah kompleks seperti kedalaman analisis, keterlibatan isu yang unik, keperluan mematuhi piawaian ditetapkan dan sebagainya dapat ditangani secara agresif dan holistik selain kemaskan kemahiran komunikasi lisan dan bertulis agar lebih banyak kompetensi penguasaan bahasa yang secara tidak langsung menjadikan pelajar dapat berdiri megah di arena globalisasi.

“Masyarakat perlu kukuhkan diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan. Penyelesaian masalah kompleks merentasi disiplin secara tuntas memerlukan kerjasama berpasukan cemerlang. Sebagai ketua dan ahli pasukan yang berkesan, selain pengetahuan teknikal, karisma dan kepemimpinan berinovasi adalah resepi kejayaan kerja berpasukan” tambahnya.

Seminar ini menampilkan lima pembentang utama iaitu Prof. Dr. William R. Barrat dan Ahmed Mohamed dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Sarah Howling, Pengetua The Alice Smith School Secondary Campus, Paneeta Nitayaphorn, Presiden Organisasi Guru Bahasa Inggeris Thailand (Thailand TESOL) dan Prof. Dr. D. Christiana Victoria Marta dari Universiti Padjadjaran dan Langlangbuana, Bandung, Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *