Selamat Datang Pelajar Baharu Tahun Asas Pengambilan Mei 2018

Selamat Datang Pelajar Baharu Tahun Asas Pengambilan Mei 2018

Pendaftaran pelajar baharu tahun asas Universiti Selangor (UNISEL) yang berlangsung pada Sabtu lalu berjalan lancar dengan kehadiran pelajar baru dari serata tempat. Majlis pendaftaran ini telah berlangsung di Dewan Naib Canselor UNISEL Kampus Bestari Jaya. Kaunter pendaftaran telah dibuka bermula jam 8.30 pagi.

Menurut En Noor Azman Kamal, Pengarah Pemasaran & Kemasukan ketika ditemui, bilangan pelajar tahun asas meningkat setiap tahun terutama sekali sejak Skim Dermasiswa mula diperkenalkan pada tahun 2016. Tahun lalu, jumlah pelajar yang mendaftar melebihi sasaran dan dianggarkan jumlah pelajar pada tahun ini akan terus meningkat dengan adanya tawaran yuran asrama percuma dan wang saku kepada pelajar Tahun Asas Sains dan Tahun Asas Teknologi Maklumat.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapatama beliau mengalu-alukan kedatangan para pelajar baharu. Dalam pada masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang hadir mendaftarkan anak masing-masing terutama sekali mereka yang datang dari luar negeri Selangor.

“UNISEL telah melalui satu fasa transformasi dengan pelbagai tambah baik telah dilakukan terutama sekali dari sudut infrastruktur dan kemudahan asas. Ini adalah untuk menjadikan universiti ini bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malahan juga sebagai satu titik kenangan dalam hidup para pelajar”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, pelajaran merupakan asas kepada semua perkara dan dengan itu UNISEL akan cuba sedaya upaya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan pelajar. Dikesempatan ini, beliau mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi di UNISEL. Beliau berharap agar pelajar yang mendaftar pada hari ini akan menjadi pelajar yang terbaik di masa hadapan.

Turut hadir pada hari pendaftaran pelajar adalah Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi, Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global), Tn. Hj. Shamsul Azhar Mohd Yusof, Pendaftar dan Prof. Madya Dr. Hamdan Dato’ Mohd Salleh yang merupakan Dekan Pusat Asasi dan Pengajian Umum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *