‘Road To Industry’ Perkenal Dunia Automotif Kepada Pelajar

‘Road To Industry’ Perkenal Dunia Automotif Kepada Pelajar

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH) dengan kerjasama Perusahaan Automobil Nasional Berhad (Proton) semalam telah mengadakan program ‘Road to Industry with Proton’ bertempat di Dewan Naib Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Program anjuran Jabatan Sains dan Bioteknologi FKSH julung kalinya diadakan dan telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL diiringi oleh Prof. Dr. Mohd Nasir Saadon, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat dan Muzam Shah Kama, Ketua Kumpulan Inovasi Proton. Program yang berlangsung selama satu hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan dunia automotif kepada para pelajar.

Antara intipati program adalah taklimat keselamatan kenderaan yang disampaikan oleh En. Saufi Ahmad, Senior Eksekutif Kajian dan Pengembangan (RND) Proton. Dalam ucapannya, beliau menekankan ciri-ciri keselamatan kenderaan dan memberi beberapa tips pemilihan kereta kepada para pengunjung.

Selain itu, program juga turut disajikan dengan demonstrasi menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pameran ‘Half Cut’ dan kereta inovasi oleh Proton, sesi pandu uji kereta, pameran oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Puspakom, Affin Bank, Sunlife Malaysia, Tabung Haji dan Jabatan Pengangkutan Malaysia (JPJ).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *