RAKAN MEDIA DAN AGENSI DIRAI DALAM MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN UNISEL-MBI

RAKAN MEDIA DAN AGENSI DIRAI DALAM MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN UNISEL-MBI

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Pejabat Komunikasi Korporat hari ini meraikan kira-kira 200 pengamal media dan agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Media yang berlangsung di Plenary Hall, SACC Shah Alam.

Slot forum yang bertajuk ‘Ramadan Kukuhkan Hubungan Kekeluargaan’ menjadi pembuka majlis yang menampilkan Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan bersama Amirul Hakim Mohd Resadi selaku moderator.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut adalah YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Tuan Abu Bakar bin Yahya, Setiausaha Politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta barisan pengurusan tertinggi UNISEL.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya berkata, majlis berbuka puasa ini dianjurkan bagi memberi penghargaan kepada pihak media dan agensi-agensi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mempromosikan UNISEL selama ini.

“Pihak media memainkan peranan penting dalam menjadi medium penyebaran maklumat berkenaan universiti. Oleh yang demikian, majlis berbuka puasa ini menjadi satu ruang untuk menyantuni rakan-rakan media serta agensi-agensi kerajaan negeri yang banyak membantu UNISEL selama ini,” ujar beliau lagi.

Majlis Berbuka Puasa Bersama Media ini merupakan salah satu program kerjasama di antara Pejabat Komunikasi Korporat UNISEL dengan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI). Ini merupakan tahun kedua UNISEL bekerjasama dengan pihak MBI untuk meraikan rakan-rakan media pada bulan Ramadan.

Majlis seterusnya disusuli dengan jamuan berbuka puasa dan diikuti oleh sesi cabutan bertuah berupa barangan elektrik serta sesi beramah mesra bersama pihak media.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *