PFAM Eratkan Kerjasama Dengan UNISEL Menerusi MOU

PFAM Eratkan Kerjasama Dengan UNISEL Menerusi MOU

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini telah mengadakan satu majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bertempat di UNISEL Kampus Shah Alam.

Memorandum ini merupakan kesinambungan daripada kunjung hormat pihak PFAM ke UNISEL pada 14 Februari lepas bagi membentuk beberapa idea dan kerjasama untuk memberi nilai tambah kepada pemain bola sepak profesional Malaysia.

Antara intipati kerjasama yang telah dipersetujui adalah UNISEL akan menyediakan Kursus Kejurulatihan Lesen ‘C’ yang akan bertempat di Kampus Bestari Jaya. Selain itu, UNISEL juga akan membuka tawaran melanjutkan pengajian di bawah program UNISEL Athlete Academic Track menerusi program Diploma Pengurusan Industri Sukan (Pengurusan Bola Sepak) kepada ahli-ahli PFAM.

Prof. Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor berkata sudah menjadi hasrat UNISEL untuk melihat program ini berjaya mewujudkan satu platform perbincangan, perkongsian pengalaman dan idea dalam mengukuhkan asas pelaksanaan pembangunan akademik dalam kalangan pemain bola sepak professional Malaysia.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman mewakili UNISEL disaksikan oleh Tn. Hj. Shamsul Azhar, Pendaftar manakala bagi pihak PFAM pula ditandatangani oleh Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFAM disaksikan oleh Rezal Zambery yang merupakan Presiden PFAM.

Antara wakil PFAM yang hadir adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rudie Ramli dan Ahmad Fauzi Saari. Turut hadir adalah kapten pasukan Selangor, Razman Roslan dan juga pemain pasukan Selangor Mohd Fairuz Abdul Aziz.

Dalam pada itu, pihak PFAM juga akan mengambil bahagian pada Hari Terbuka UNISEL pada 16-18 Mac ini. Pihak PFAM akan mengendalikan Slot Bicara PFAM dan Perlawanan Amal Pasukan Pilihan PFAM menentang Pasukan Pilihan UNISEL pada 18 Mac 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *