MOU UNISEL- IDP EDUCATION LTD Australia Tingkatkan Kemudahan Pelajar Antarabangsa

MOU UNISEL- IDP EDUCATION LTD Australia Tingkatkan Kemudahan Pelajar Antarabangsa

Satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Universiti Selangor (UNISEL) dan IDP Education LTD Australia telah berlangsung dengan jayanya hari ini di UNISEL Kampus Shah Alam. Majlis tersebut menyaksikan Prof. Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak UNISEL manakala Mr. Ajay Rao pula bagi pihak IDP Education LTD Australia.

IDP Education LTD Australia merupakan sebuah organisasi yang menawarkan ujian International English Language Testing (IELTS) kepada lebih 50 buah negara termasuk Malaysia. Buat masa ini, UNISEL yang mempunyai pelajar antarabangsa daripada lebih 22 buah negara antaranya Indonesia, Oman, Bangladesh, Zambia dan Mesir mensyaratkan pelajar-pelajar tersebut untuk menduduki ujian IELTS sekiranya mereka ingin melanjutkan pengajian di UNISEL.

Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapannya turut menegaskan kepentingan ujian IELTS bagi menilai sejauh mana tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung di negeri Selangor, adalah penting buat UNISEL melahirkan graduan yang berkualiti. Oleh yang demikian, dengan adanya memorandum perjanjian ini maka ia dapat memberikan kemudahan kepada pelajar antarabangsa dari segi pengurusan untuk menduduki ujian IELTS.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman juga sempat melawat sekali gus merasmikan Pejabat Antarabangsa baharu yang terletak di Tingkat 2, Bangunan Satelit Kampus Shah Alam. Pejabat Antarabangsa menawarkan pelbagai kemudahan untuk orang luar yang ingin mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat pelajar antarabangsa yang sedang melanjutkan pengajian di UNISEL.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *