MOU UNISEL-IDE Perkasa Penyelidikan Di Negeri Selangor

MOU UNISEL-IDE Perkasa Penyelidikan Di Negeri Selangor

Hari ini telah berlangsungnya majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Selangor (UNISEL) dan Institut Darul Ehsan (IDE) bertempat di Bilik Senat UNISEL Kampus Shah Alam. Objektif persefahaman ini adalah bagi memeterai kerjasama pendidikan, penyelidikan dan pertukaran kepakaran bagi kedua-dua belah pihak.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL berkata, inisiatif MoU pada hari ini adalah antara usaha bagi menjalinkan lebih banyak lagi hubungan strategik jangka panjang dalam bentuk penganjuran program berbentuk intelektual, projek-projek berimpak tinggi dan kegiatan penyelidikan yang boleh memberi sumbangan besar kepada dunia akademik di dalam negara khususnya di negeri Selangor.

“Walaupun IDE masih baharu tetapi institusi ini telah banyak menghasilkan sesuatu program dan kegiatan yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat. Sebagai sebuah institusi pemikir yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Selangor, UNISEL akan terus bekerjasama dengan IDE untuk melaksanakan tanggugjawab sosial dalam menggerakkan aktiviti dan program-program kemasyarakatan”, ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi IDE.

Memetik kenyataan Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ahli Lembaga Pengarah IDE, beliau melihat masyarakat sekarang cenderung terhadap akademik penyelidikan. Dengan usaha dan sokongan penuh dari pihak kerajaan negeri serta perkembangan sihat di pihak UNISEL, pihak IDE akan membuka kaedah dan pendekatan bidang penyelidikan yang baharu bukan sahaja di negeri Selangor malah di seluruh negara.

Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Prof. Dr. Mohd Nor Nawawi, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor disaksikan oleh En. Hj. Shamsul Azhar, Pendaftar bagi pihak UNISEL manakala Dato’ Kamaruddin Jaafar menandatangani bagi pihak IDE disaksikan oleh En. Sharifudin Muis, Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Operasi IDE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *