Modul STEM Diiktiraf Di Peringkat Kebangsaan

Modul STEM Diiktiraf Di Peringkat Kebangsaan

Universiti Selangor (UNISEL) telah dianugerahkan dua perak dan dua gangsa dalam ‘STEM Computational Thinking Game Design Competition’ yang berlangsung pada 1 Ogos lepas. Pertandingan yang diadakan sempena 1st National STEM Seminar itu berlangsung di Universiti Malaya.

Dua pingat perak tersebut disumbangkan menerusi modul matematik yang dibangunkan oleh pensyarah daripada Pusat Pengajian Asasi dan Umum (CFGS) manakala pingat gangsa menerusi modul Kimia dan Sains Forensik hasil kerjasama di antara CFGS dan Jabatan Sains Bioteknologi, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat.

Pasukan UNISEL terdiri daripada 10 orang pensyarah dan lapan orang pelajar diketuai oleh Dr. Hazeeq Hazwan Azman, Timbalan Dekan CFGS membentangkan tiga kertas kerja penyelidikan STEM UNISEL.

Pembentangan tersebut merupakan hasil daripada kajian sampingan semasa projek Mentor Mentee STEM yang berlangsung sepanjang 2017 bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS). Projek ini berlangsung di sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Menurut Dr. Hazeeq Hazwan, pengiktirafan yang diterima ini berjaya membuktikan kredibiliti modul-modul ‘Fun with STEM’ yang dibangunkan oleh para pensyarah UNISEL. Dalam pada itu, beliau juga berharap agar kemenangan ini mampu meletakkan UNISEL sebagai antara peneraju utama STEM di Malaysia.

Apa yang lebih menarik, pasukan STEM UNISEL merupakan ahli National STEM Movement dan dalam masa terdekat bakal terlibat dalam perbincangan STEM ASEAN di Acheh, Indonesia. Semoga penglibatan UNISEL akan menjadi nadi penggerak dalam usaha memerkasa STEM di peringkat kebangsaan dan serantau Asia.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *