“Memacu Kecemerlangan” Disambut Baik Semua Warga Universiti

“Memacu Kecemerlangan” Disambut Baik Semua Warga Universiti

‘Sebulan Bonus serta kenaikkan 3% mendapat tepukan gemuruh warga universiti’

Shah Alam – Majlis Amanat Tahunan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor menjadi satu titik permulaan baharu buat seluruh warga universiti untuk lebih komited dalam menerajui tranformasi yang telah digagaskan oleh beliau sebelum ini. Menerusi majlis amanat yang baharu sahaja berakhir pagi tadi Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan telah menegaskan bahawa 2018 adalah tahun untuk lebih terkehadapan dengan tajuk amanat beliau ‘Memacu Kecemerlangan’.

Permulaaan amanat sebentar tadi telah dimulakan Beliau dengan menyeru supaya semua staf diperingkat pentadbiran serta akademik supaya lebih berdaya saing dengan pelbagai inisatif terkini demi kecemerlangan universiti. Antara yang mencuri perhatian staf yang hadir, adalah apabila Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan beberapa kali mengungkapkan ucapan terima kasih buat semua yang telah bersama-sama beliau dalam memacu universiti selama ini.

Tambah beliau, pada tahun 2017, UNISEL telah mencatat pelbagai kejayaan dan ini adalah kerana penglibatan kesemua staf dalam aktiviti-aktiviti universiti yang menjadi mercu tanda kepada kejayaan universiti antaranya pada Hari Terbuka UNISEL sebanyak tiga kali, Program Bina Insan, Hari Keluarga, Larian Universiti Selangor, Soul Station Oasis dan banyak lagi. Kesemua program ini menurut beliau telah memberi gambaran baik kepada masyarakat tentang tahap keberadaan universiti yang semakin baik dari sudut persepsi.

Selain itu, menurut beliau lagi pada 2017 turut menyaksikan pelbagai inisiatif telah diberikan kepada staf antaranya kenaikan pangkat bagi staf yang layak, pembayaran gaji pokok minimum, bonus hari raya dan bantuan persekolahan. Kesemua inisiatif Ini adalah batu loncatan kepada warga universiti untuk terus memberikan khidmat bakti yang cemerlang.

Manakala buat 2018 pula ini adalah merupakan satu permulaan baharu buat UNISEL untuk terus mendukung visi sebagai peneraju transformasi pendidikan tinggi di Malaysia. Antara sasaran utama bagi tahun 2018 adalah untuk memastikan lebih banyak penyelidikan dan penerbitan dijalankan oleh fakulti. Para pensyarah diberi saranan untuk memperbanyakkan projek penyelidikan dengan sasaran minima 20 geran kebangsaan, 5 geran industri, 3 geran antarabangsa dan 100 geran bestari.

Dalam pada itu, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan juga turut mengucapkan terima kasih dan jutaan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor khususnya buat YAB Dato’ Seri Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang telah memperuntukkan lebihkurang RM37 juta kepada UNISEL bagi tahun 2018 menerusi ucapan belanjawan baru-baru ini. Sesungguhnya keperihatinan Dato’ Menteri Besar akan dibalas dengan sewajarnya demi amanah besar kepercayaan yang telah diberikan, dan itu adalah antara ingatan Beliau kepada semua staf universiti.

Bagi maksud berikut, proses transformasi universiti akan diteruskan lagi pada tahun 2018 dengan kerja-kerja ubahsuai yang akan dimulakan di Pusat Sukan kampus Bestari Jaya, bangunan Canseleri dan projek pintu gerbang baharu. Perancangan lain juga telah direncanakan antaranya projek penambahbaikan infrastruktur serta tambahan kemudahan kepada para pelajar dan staf sepertimana yang sedang giat dijalankan di kampus Bestari Jaya dan Shah Alam antaranya projek pemasangan chiller baharu, pembangunan infrastruktur, penanaman 2000 pokok dan pengindahan tasik yang bakal menjadi ikon baharu UNISEL selepas ini.

Tepukan gemuruh seluruh dewan oleh staf apabila berita yang paling dinanti-nantikan berkenaan imbuhan telah dizahirkan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan dengan mengumumkan kenaikan tahunan sebanyak 3% dan bonus tahunan sebanyak sebulan gaji pagi tadi. Menurut Prof, Dato’ Dr Mohammad Redzuan, inisiatif yang diumumkan kepada keseluruhan staf ini tidak lain tidak bukan adalah bagi menyuntik semangat warga universiti untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang akademik dan pengurusan pentadbiran.

Mengakhiri ucapan, Prof, Dato’ Dr Mohammad Redzuan menyeru agar kesemua kakitangan universiti untuk terus berdaya saing dalam mengharungi tahun baharu dan bersama-sama mengecapi kejayaan dalam memastikan UNISEL terus cemerlang sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka di Malaysia. Dalam pada itu, menerusi majlis yang sama turut diadakan montaj Pelancaran Kad Staf Baharu yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula Januari 2018.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *