Melakar Kejayaan, Agenda Utama UNISEL 2019

Melakar Kejayaan, Agenda Utama UNISEL 2019

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menyeru agar kesemua kakitangan dapat membina budaya, menampilkan kualiti kerja yang cemerlang dan lebih berdaya saing sempena kedatangan tahun baharu 2019.

“Kita berjaya membuktikan dalam tempoh tiga tahun, kita berjaya meraih pelbagai kejayaan dan saya berharap agar tahun 2019 ini, UNISEL akan terus terkehadapan untuk melakar lebih banyak lagi kejayaan baik dari segi pentadbiran, penyelidikan mahupun pendidikan,” ucap beliau semasa Majlis Perutusan Amanat Tahun Baharu yang berlangsung di UNISEL Kampus Bestari Jaya.

“UNISEL sebelum ini mewarisi infrastruktur yang amat daif, tiada kenaikan pangkat malah lima tahun tiada kenaikan gaji. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun saya menerajui UNISEL, beberapa perubahan telah berjaya dilakukan,” ucap beliau.

Tambah beliau lagi, pelbagai usaha telah dijalankan dalam usaha untuk menjelaskan aspirasi dan hala tuju UNISEL antaranya dengan mengadakan kunjungan hormat dengan pelbagai pihak, daripada pimpinan politik sehinggalah pemimpin masyarakat.

“Pada tahun 2019, kita akan teruskan lagi kunjungan hormat kerana menerusi program ini, ia dapat membuka mata banyak pihak untuk melihat UNISEL sebagai sebuah universiti yang mempunyai potensi yang amat besar terutama sekali dalam bidang pendidikan,” tambah beliau.

Tahun 2018 merupakan tahun yang paling cemerlang buat UNISEL apabila menerima kunjungan daripada YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tuan Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor serta Dr. Makio Miyagawa, Duta Besar Jepun Ke Malaysia.

UNISEL pada tahun 2019 ini juga akan meneruskan proses menaiktaraf infrastruktur dan melestarikan persekitaran baik dari segi teknologi maklumat, pembangunan serta aktiviti penghijauan kampus. Apa yang lebih bermakna, kampus Bestari Jaya akan menjadi induk dan kampus Shah Alam akan dioperasi sepenuhnya oleh Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.

Program penjenamaan juga akan diteruskan melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakat bagi menaikan imej dan membuka mata masyarakat tentang keberadaan UNISEL terutama sekali mereka yang berada di negeri Selangor.

Satu lonjakan paradigma untuk UNISEL pada tahun 2019 apaila menerima dua pengiktirafan daripada SIRIM iaitu ISO 9001 : 2015 dan ISO 21001 : 2018 ‘Educational Organization Management System’ (EOMS) pada 15 November 2018.

Di akhir program, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan mengumumkan insentif bagi tahun 2019 sebanyak RM500 yang akan disalurkan kepada kakitangan pada bulan Februari 2019 dan kenaikan gaji bagi yang layak sebanyak 3%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *