Malaysia Baharu, UNISEL Baharu

Malaysia Baharu, UNISEL Baharu

Susulan kemenangan Pakatan Harapan di negeri Selangor dan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) berkata beliau akan meneruskan agenda kemajuan pendidikan disamping merancakkan lagi program transformasi di universiti ini.

“Alhamdullah, UNISEL telah mengadakan program gotong-royong yang melibatkan lebih kurang 500 orang staf dan pelajar universiti dimana agenda utamanya adalah menanam pokok. Ini bagi mengindahkan lagi persekitaran kampus dalam usaha untuk menjadikan UNISEL sebagai sebuah kampus hijau,” ujar beliau ketika ditemui semasa program Gotong-Royong yang berlangsung di UNISEL kampus Bestari Jaya.

Tambah beliau lagi, dengan terbentuknya kerajaan baharu di peringkat persekutuan akan memberikan kelebihan buat univeristi ini yang mana UNISEL telah dijadikan model dalam Janji 50 kerajaan Pakatan Harapan untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pengajian tinggi.

“Kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor akan diteruskan iaitu kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan kerjasama dengan kerajaan pusat juga akan kita laksanakan kelak,” tambah beliau lagi.

Hadir memeriahkan program penanaman pokok ini adalah Y.B Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, pengurusan tertinggi UNISEL serta ketua-ketua jabatan. Turut hadir memeriahkan program adalah mantan Timbalan Naib Canselor UNISEL, Y.B Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang sekarang merupakan ADUN Seri Setia.

Dr. Mohd Norazwan A. Bakar yang merupakan pengarah program ketika temui berkata sebanyak 385 batang anak pokok dari spesis Kelat Paya telah berjaya ditanam pada hari ini. Beliau dalam pada itu juga turut meluah rasa gembira dan berterima kasih di atas komitmen yang telah diberikan oleh rakan-rakan kakitangan UNISEL yang turut sama menjayakan program ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *