Majlis Ikrar Pelajar Baharu April 2019

Majlis Ikrar Pelajar Baharu April 2019

Minggu Tekad Siswa Budiman bagi pelajar baharu kemasukan April 2019 yang bermula pada 6 April 2019 telah melabuhkan tirainya hari ini. Program yang berlangsung selama empat hari itu merupakan minggu suai kenal antara pelajar-pelajar baharu yang telah dikelolai sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Selangor (UNISEL).

Prof Dato Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucaptamanya berkata beliau amat berterima kasih terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelajar serta ibu bapa yang telah memilih UNISEL sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

“Saya percaya UNISEL menjadi pilihan para pelajar kerana keyakinan terhadap kebolehan UNISEL dapat membentuk kecemerlangan kepada para pelajar. UNISEL merupakan institusi pengajian tinggi swasta yang menawarkan yuran pengajian yang berpatutan dimana fasiliti yang kami sediakan adalah setaraf institusi pengajian tinggi awam,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, tenaga pengajar UNISEL juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dan ini merupakan faktor utama kenapa universiti ini amat menitikberatkan kecemerlangan setiap pelajar.

UNISEL merupakan sebuah universiti yang bukan sahaja menyediakan yuran yang berpatutan malah fasiliti yang terbaik seperti asrama, perpustakaan dan sebagainya kepada pelajar. Dari segi kualiti pula, UNISEL merupakan universiti pertama di Malaysia menerima dua pensijilan daripada pihak SIRIM iaitu Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 dan EOMS ISO21001:2018.

Justeru itu, buat para pelajar di luar sana yang berminat untuk menyambung pengajian di UNISEL, tarikh pendaftaran pelajar baharu pengambilan April 2019 akan dilanjutkan sehingga 19 April 2019. Pelajar yang berminat boleh datang secara terus ke Pejabat Pemasaran dan Kemasukan di kedua-dua buah kampus, Shah Alam dan Bestari Jaya atau boleh hubungi talian 03-55223400 / 012-3401740 / 011-33907681

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *