Majlis Berbuka Puasa UNISEL Satukan Pegawai Komunikasi Korporat Dan Media

Majlis Berbuka Puasa UNISEL Satukan Pegawai Komunikasi Korporat Dan Media

Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Pegawai Komunikasi Korporat Selangor bersama Media di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Acara bermula dengan forum bertajuk “Kenapa Media dan Perhubungan Awam Saling Melengkapi” yang menampilkan Tuan Haji Ami Nardin Hj Ishak, Ketua Komunikasi Korporat Worlwide Holdings Berhad dan Pn Lailatun Khalilah Nasir, Editor Bisnes Sinar Harian selaku panel jemputan.

Pelbagai isu dan perkongsian telah dirungkai mengenai kepentingan komunikasi korporat dan media dalam sesebuah organisasi. Dalam pada masa yang sama, para panel turut berkongsi pengalaman industri masing-masing dan tips yang diharap dapat memberi panduan kepada pegawai komunikasi korporat serta pengamal media yang baru.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dan penyerahan cek yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor dimana beliau telah menyerahkan dua cek kepada pihak UNISEL.

Kedua-dua cek yang diserahkan kepada Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL itu merupakan sumbangan pihak Kerajaan Negeri Selangor kepada pihak UNISEL yang mana peruntukan sebanyak RM3.3 juta disumbangkan untuk Skim Dermasiswa dan RM2 juta disumbangkan kepada pembangunan program Smart Tahfiz Masjid UNISEL.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam pada itu mengambil kesempatan tersebut mengucapkan setinggi terima kasih kepada pegawai-pegawai komunikasi korporat seluruh Selangor serta pengamal media yang hadir memeriahkan majlis tersebur. Besar harapan beliau agar hubungan baik ini akan diteruskan dalam masa yang sama dapat memberikan gambaran sebenar mengenai keberadaan universiti bukan sahaja di mata pihak media malah seluruh masyarakat setempat.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah televisyen serta pelbagai barangan elektrik dan kelengkapan rumah yang lain. Dalam pada pada itu, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berhormat Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam yang sudi hadir memeriahkan majlis. Turut hadir memeriahkan majlis adalah barisan eksekutif dan pengurusan tertinggi UNISEL.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *