Lebih 1000 Pelajar Baharu Sertai Majlis Bacaan Ikrar

Lebih 1000 Pelajar Baharu Sertai Majlis Bacaan Ikrar

Minggu Tekad Siswa (MTS) pada sesi kemasukan Jun 2018 menjadi minggu suai kenal terbesar dalam sejarah Universiti Selangor (UNISEL). Ini berikutan limpahan jumlah kemasukan pelajar semasa Hari Pendaftaran yang telah berlangsung pada 30 Jun lepas.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor berkata, kemasukan pelajar pada sesi kali ini adalah yang teramai apabila lebih 1000 orang pelajar mendaftar untuk program prasiswazah dan pascasiswazah.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Bacaan Ikrar Program MTS yang telah berlangsung di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

“Pendidikan merupakan medium penting untuk membina masa depan diri, bangsa dan keluarga. Justeru itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar kerana membuat pilihan yang tepat. Harapan saya agar para pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang disediakan sebaik mungkin,” ujar beliau

Tambah beliau lagi, UNISEL amat menitikberatkan kecemerlangan setiap pelajar. UNISEL mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Justeru itu, para pelajar dinasihatkan untuk menggunakan peluang keemasan ini sebaik mungkin.

Beliau juga berharap agar UNISEL mampu melahirkan ramai pakar yang mahir dalam pelbagai bidang agar Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *