Kualiti Pendidikan Harus Seiring Dengan Aspek Kerohanian – Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Kualiti Pendidikan Harus Seiring Dengan Aspek Kerohanian – Dato’ Seri Anwar Ibrahim

“Meneroka pemikiran baharu adalah aspek penting untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan. Dalam pada masa yang sama, pendidikan juga tidak mungkin berkembang sekiranya pelajar-pelajar tidak menguasai ilmu baharu sebagai contoh teknologi maklumat,” ujar Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Syarahan Darul Ehsan yang dianjurkan oleh Universiti Selangor (UNISEL).

Menerusi syarahannya yang bertajuk “Ke Arah Pendidikan Bersepadu Dalam Era Malaysia Baharu”, beliau menyatakan amat perlu untuk meneroka keperluan alaf pendidikan baharu kerana itu merupakan cabaran utama kepada pendidikan masa kini.

Revolusi pendidikan kini membawa satu cabaran baharu terutama sekali dari aspek pendidikan digital. Pendidikan digital amat penting namun harus diimbangi dengan etika kemanusiaan agar ia dapat melahirkan generasi yang pintar namun masih menitikberatkan nilai keinsanan.

“Polemik pendidikan harus ke arah mutu pendidikan. Ini kerana pendidikan merupakan cara yang baik untuk mengangkat mobiliti sosial. Kualiti pendidikan juga harus diutamakan lebih-lebih lagi untuk melahirkan generasi bukan sahaja pintar dari segi intelektual malah juga unggul dari segi rohani,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menekankan aspek kerohanian dalam pendidikan dan percaya seseorang cendekiawan itu tidak mungkin dianggap hebat dan cemerlang sekiranya tidak menguasai al- Quran.

“Pendidikan berkualiti juga mestilah dilihat dari aspek kerohanian dan untuk menjadikan pendidikan itu lebih komprehensif, ia haruslah diimbangi dengan utiliti,” tambah beliau lagi yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1986 hingga 1991.

Beliau dalam pada itu turut memuji kepimpinan UNISEL yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman yang berjaya meningkatkan mutu akademik dalam usaha untuk menerajui transformasi pendidikan di Malaysia.

Ini merupakan kedatangan kali ketiga beliau ke UNISEL setelah kunjungan kali pertamanya pada tahun 2009 dan kali kedua pada 2018. Turut hadir memeriahkan majlis adalah YAB Tuan Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Negeri serta wakil-wakil agensi kerajaan negeri Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *