Kapten Pasukan Selangor FA Ikuti Pengajian Di UNISEL

Kapten Pasukan Selangor FA Ikuti Pengajian Di UNISEL

Universiti Selangor (UNISEL) menjadi pilihan utama Mohd Razman Roslan, kapten pasukan Selangor FA untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

Razman yang mendaftar sebagai pelajar baharu dalam jurusan pengurusan industri sukan itu berkata, beliau memilih UNISEL kerana adanya program “UNISEL Athlete Academic Track” yang memberi peluang kepada atlet profesional seperti dirinya untuk fokus kepada pelajaran dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan latihan di padang.

Beliau yang mula menyertai pasukan boleh sepak kebangsaan pada tahun 2010 itu turut berkata, antara sebab utama beliau memilih untuk menyambung pengajian adalah kerana ingin mengubah mentaliti masyarakat terhadap pemain-pemain bola.

“Jika sebelum ini, pemain bola hanya dilihat sebagai jaguh di padang sahaja namun selepas ini saya mahu orang luar bukan sahaja menilai kami pada bakat di padang malahan yang mampu menjadi contoh dari aspek akademik,” ujar Razman.

Hadir sama adalah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rudie Ramli yang turut serta mendaftar sebagai pelajar baharu UNISEL. Beliau yang juga merupakan Bendahari Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendaftar bagi mengikuti kursus yang sama, Diploma Pengurusan Industri Sukan.

Menurut Rudie, beliau amat menggalakkan semua pemain bola profesional untuk melanjutkan pengajian kerana ini dapat mengubah persepsi masyarakat mengenai pemain bola sepak secara keseluruhannya.

Tambahan lagi, program “UNISEL Athlete Academic Track” ini dapat membantu bukan sahaja pemain-pemain bola sepak malah atlet dari bidang sukan yang lain untuk melanjutkan pengajian kerana program ini memberi fleksibiliti kepada atlet dari segi tempoh pengajian, kaedah pembelajaran dan penilaian kursus.

Terdahulu, Presiden PFAM yang juga bekas pemain pasukan kebangsaan, Rezal Zambery Yahya berjaya mengikuti pengajian di UNISEL juga menerusi program “UNISEL Athlete Academic Track” pada kemasukan Jun 2018. Turut sama bergelar pelajar UNISEL adalah Exco PFAM yang lain iaitu Mohd Fairuz Abdul Aziz, Mohd Shahrom Abdul Kalam dan Mohd Fauzi Saari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *