Kakak Sebak Terima Ijazah Anumerta Allayarhamah Siti Sarah Rasul

Kakak Sebak Terima Ijazah Anumerta Allayarhamah Siti Sarah Rasul

Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Kali Ke-13 hari ini menyentuh hati para jemputan yang hadir apabila nama Allahyarhamah Siti Sarah Rasul diumumkan bagi menerima Ijazah Anumerta Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua.

Siti Sarah Rasul merupakan graduan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial. Allahyarhamah telah kembali ke Rahmatullah pada 10 Jun 2018 bersamaan 25 Ramadan 1439H dalam satu kejadian kemalangan jalan raya.

Hadir pada hari ini mewakili Allahyarhamah adalah kakak kandungnya, Siti Hajar Rasul. Menurut Siti Hajar, beliau menyifatkan Allahyarhamah Siti Sarah sebagai seorang yang sangat rajin dan gigih.

“Allahyarhamah seorang yang sangat berdikari dan suka membantu orang lain. Sekiranya di rumah, Siti Sarah suka memberi tunjuk ajar kepada ahli keluarga lain berkaitan bidang keagamaan dan kehilangannya amat menyentuh hati setiap ahli keluarga kami,” ujar Siti Hajar.

“Siti Sarah merupakan anak bongsu dan sebagai kakak, saya merasai segala kesusahan yang dilalui oleh Allahyarhamah dalam usaha untuk mendapatkan segulung ijazah. Semasa berada di atas pentas tadi, saya dapat merasakan Allahyarhamah ada di samping saya,” tambah beliau lagi.

“Kepada rakan-rakan arwah yang mana menerima buku atau barangan arwah, manfaatkanlah secara berhemah agar arwah mendapat pahala dan saham akhirat. Kepada pensyarah dan semua yang mengenali adik saya, terima kasih kerana banyak membantu dan menjaga adik saya sepanjang beliau berada di UNISEL,” ujar beliau mengakhiri bicara.

Ijazah Anumerta merupakan penganugerahan ijazah yang diberikan kepada individu yang telah meninggal dunia. Seluruh warga UNISEL mengucapkan takziah dan semoga roh Allahyarhamah Siti Sarah Rasul ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *