Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-13 Berlangsung Meriah

Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-13 Berlangsung Meriah

Seramai 582 orang pelajar Universiti Selangor (UNISEL) bergraduat pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-13 bertempat di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya. Istiadat penuh warna warni dan gilang gemilang itu berlangsung selama 3 hari bermula pada 27hb Oktober 2018 sehingga 29hb Oktober 2018. Konvokesyen kali ini dibahagiakan kepada empat sidang bermula dengan sidang pertama pada hari ini yang disempurnakan oleh Y.A.D. Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj bin Raja Tun Uda Alhaj selaku Canselor UNISEL dan diringi oleh Pro-Canselor UNISEL iaitu Y.A.D. Dato’ Setia Dr. Haji Anuar bin Haji Masduki dan Y.A.D. Tan Sri Dato’ Sri Dato’ Setia Ismail bin Adam.

Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini ialah Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tuan Amirudin Shari yang juga merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UNISEL serta Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman.

UNISEL telah menganugerahkan empat anugerah utama kepada empat orang graduan. Anugerah yang dimaksudkan ialah Anugerah Canselor kepada Ng Zheng Jian, graduan Sarjana Muda Kewangan (Kepujian), Anugerah Pengerusi kepada Syafika Alyani Binti Anua, graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri (Kepujian), Anugerah Naib Canselor kepada Aisha Ahmed Mohamed Motawh, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Korporat) dan Anugerah Exco Pendidikan kepada Nurul Aqilah Binti Mahmud, graduan Diploma Pendidikan (Pengajian Islam). Setiap kategori anugerah diberikan adalah bukti keperihatinan universiti dalam menghargai kesungguhan serta kegigihan para graduan selama ini.

Dalam pada itu, UNISEL juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik kepada Dr Makio Miyagawa. Beliau merupakan Duta Besar Jepun ke Malaysia sejak tahun 2014. Beliau merupakan graduan Kejuruteraan Aeronautik dari The University of Tokyo, Japan dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dari University of Oxford, United Kingdom.

Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-13 ini menyaksikan sejumlah 2683 graduan bergraduat. Jumlah tersebut merangkumi 1071 orang graduan yang mengikuti pengajian peringkat Diploma, 1576 orang graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 23 orang graduan peringkat Ijazah Sarjana serta seramai 13 orang graduan peringkat Kedoktoran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *