Inbound Mobility Program, Eratkan Hubungan 2 Negara

Inbound Mobility Program, Eratkan Hubungan 2 Negara

Bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia, Universiti Selangor (UNISEL) baru-baru ini telah menerima kunjungan pelajar-pelajar daripada Politeknik Medica Farma Husada (MFH) Mataram, Indonesia menerusi “Inbound Mobility Program” yang diadakan pada 16 hingga 29 Julai 2018.

Program yang berlangsung selama dua minggu itu merupakan salah satu projek anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nazil Salleh, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat. Program ini melibatkan seramai 16 orang pelajar Diploma Analis Kesihatan Politeknik MFH Mataram yang mana ia merupakan lawatan kali pertama mereka ke Malaysia.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah bagi mengadakan kolaborasi dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta pertukaran budaya antara dua negara selain daripada meningkatkan data myra dan ranking setara universiti.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar daripada Politeknik MFH Mataram bukan sahaja diberi peluang untuk menjalani sesi pembelajaran di dalam bilik kuliah dan makmal malah turut terlibat dengan aktiviti luar seperti lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucapannya berkata, pelbagai manfaat yang diperolehi oleh kedua-dua belah pihak terutama sekali dari segi pertukaran idea dan pandangan dalam usaha untuk memenuhi keperluan industri.

“Banyak manfaat yang diperolehi oleh kedua-dua pihak. Oleh itu, saya amat menggalakkan pelajar-pelajar UNISEL untuk turut serta dalam program-program lawatan seperti ini. Saya juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” ujar beliau ketika ditemui semasa Majlis Penutup “Inbound Mobility Program” yang diadakan di UNISEL Kampus Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *