Iftar Jamaie UNISEL 2018 Meriah

Iftar Jamaie UNISEL 2018 Meriah

Bagi mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini, Universiti Selangor (UNISEL) telah menganjurkan program Iftar Jamaie yang telah berlangsung di Masjid UNISEL kampus Bestari Jaya. Disamping mengeratkan ukhuwah di antara kakitangan, majlis ini turut meraikan ahli keluarga kakitangan yang sentiasa memberi sokongan penuh terhadap program anjuran universiti.

Program yang bermula pada jam 5.30 petang itu disemarakkan lagi dengan tazkirah ringkas oleh Ustaz Ab Razak Aripin sementara menunggu ketibaan waktu berbuka. Dianggarkan seramai 1300 orang kakitangan beserta keluarga hadir memeriahkan majlis berbuka puasa yang merupakan acara tahunan universiti.

Selesai solat sunat terawih berjemaah, agenda majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan zakat kepada staf dan pelajar UNISEL yang terdiri dari golongan asnaf. Bantuan telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Prof. Dato’ Dr Redzuan Othman dalam ucapannya meluahkan rasa bersyukur kerana majlis iftar jamaie pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Beliau mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang sudi memberi komitmen untuk hadir memeriahkan majlis pada hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah mantan Timbalan Naib Canselor UNISEL, Y.B Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang sekarang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor dan Y.B Rozana Zainal Abidin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Permatang, pengurusan tertinggi UNISEL serta ketua-ketua jabatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *