Anwar Ibrahim Pilih UNISEL Setelah Bergelar Ahli Parlimen

Anwar Ibrahim Pilih UNISEL Setelah Bergelar Ahli Parlimen

Kunjungan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada hari ini merupakan kunjungan yang amat dinantikan oleh seluruh warga Universiti Selangor (UNISEL). Ketibaan beliau tepat jam 9 malam disambut meriah oleh lebih kurang 5000 orang tetamu yang hadir dari seluruh Malaysia.

Ini merupakan kunjungan kedua DSAI ke UNISEL setelah kunjungan kali pertamanya pada 9 Julai 2009, juga di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya bersempena program Temui YB Datuk Seri Anwar Ibrahim @ Universiti Selangor.

Dalam ucapannya, DSAI menyatakan bahawa ini merupakan acara pertama beliau setelah diangkat sebagai Ahli Parlimen. Beliau memilih UNISEL kerana percaya UNISEL mempunyai landasan untuk membawa mahasiswanya untuk menjadi insan yang berilmu.

“Ilmu mampu menyelamatkan kita dan kemanusiaan. Banyak kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kerana manusia ketandusan ilmu. Penipuan juga berlaku kerana ketandusan ilmu. Oleh yang demikian, para pelajar sekalian haruslah menghayati ilmu. Bebankan diri dengan ilmu agar anda tidak terhimpit penipuan kerana ketandusan ilmu,” ujar DSAI.

Beliau juga turut memberi peringatan kepada anak-anak muda agar meningkatkan kekuatan moral kerana hanya dengan ilmu sahaja mampu membuka kebenaran dan membawa perubahan. Tidak dilupakan juga, beliau turut menekankan penggunaan imej Islam dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL merakamkan jutaan terima kasih kepada DSAI kerana telah memilih untuk hadir ke UNISEL pada hari ini.

“Ini merupakan satu penghargaan buat seluruh kakitangan universiti ini apabila UNISEL dipilih sebagai destinasi pertama DSAI setelah beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson,” ujar beliau.

Program Temui YB Datuk Seri Anwar Ibrahim @ Universiti Selangor ini merupakan program anjuran bersama UNISEL dan AIC Malaysia. Kunjungan ini juga merupakan kunjungan kali pertama beliau ke institusi pendidikan tinggi setelah mengangkat sumpah selaku Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *