Aktif Di Kampus Memberi Impak Dalam Kepimpinan Berwibawa

Aktif Di Kampus Memberi Impak Dalam Kepimpinan Berwibawa

Pemimpin-pemimpin pelajar dari pelbagai persatuan di Universiti Selangor (UNISEL) hari ini diraikan dalam satu majlis khas iaitu Anugerah Kepimpinan Siswa 2018 (AKS 2018). Majlis penganugerahan tersebut dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti (HEP) bagi meraikan pemimpin-pemimpin pelajar yang cemerlang dari aspek kokurikulum dan akademik.

Karthikesan A/L Vijaykumar yang menerima anugerah utama pada majlis tersebut iaitu Anugerah Tokoh Siswa Terbaik UNISEL 2018 berkata kunci utama kejayaan beliau selain dorongan padu daripada ibu bapa, penasihat serta badan induk Majlis Perwakilan Pelajar adalah sentiasa mengimbangi usaha dari segi akademik dan kokurikulum.

“Segala penglibatan ini merupakan langkah persediaan bagi mengasah nilai kemahiran insaniah agar kejayaan yang diperolehi berpanjangan hingga ke alam pekerjaan. Saya bukan sahaja dapat membawa nama baik UNISEL di alam pekerjaan malah berbangga UNISEL mampu melahirkan produk yang berkualiti dan berketerampilan” ujar beliau yang turut merangkul dua anugerah lain iaitu Anugerah Pemimpin Badan Beruniform dan Anugerah Pemimpin Organisasi Pelajar.

Antara anugerah lain yang turut menjadi tumpuan adalah Anugerah Organisasi Pelajar Terbaik 2018 yang dianugerahkan kepada Persatuan Devolunteer yang menerima geran berjumlah RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Menurut Kurniawan Ady Shaputra Mashor, Presiden Persatuan Devolunteer, aktiviti sukarelawan amat penting kerana ia dapat membantu pelajar mengenali keadaan masyarakat sekeliling dengan lebih terperinci selain dapat menyumbang bantuan dalam pelbagai bentuk.

“Pelbagai bentuk bantuan telah kami salurkan kepada yang memerlukan antaranya program ‘Salam Food’ dimana kami menyumbang makanan kepada pelajar yang kurang berkemampuan selain beberapa aktiviti sukarelawan dalam dan luar negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berasa amat bangga menjadi pelajar UNISEL kerana diberi peluang untuk menyertai aktiviti berpersatuan yang mampu membantu masyarakat disamping dapat mewujudkan budaya persaingan sihat dalam kalangan pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *